Tuesday, November 24, 2009

MASJID AL-AQSA




Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)

Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha, sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).

Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.

Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman. Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.

Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya tetap tidak berubah.

Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar (seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab, ”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi! Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.

NAK TAHU TAK?

FAKTA 1: Puteri Gunung Ledang
Setelah dikajiselidik melalui sebuah perkuburan yang terdapat dipinggir Gunung Ledang, terdapat kesan-kesan peninggalan dan bukti yang menunjukkan mayat di dalam kubur tersebut ialah Puteri Gunung Ledang. Di sebelah bawah badan mayat tersebut terdapat secalik kertas dan setelah diselidik ia sebenarnya Kad Pengenalan Puteri Gunung Ledang. Nama sebenar Puteri Gunung Ledang yang tertera didalam IC itu ialah Tiara Jeaquelina bin Abdullah.

FAKTA 2: Batu Bersurat Terengganu
Mengikut sejarah, ada seorang hamba sultan Terengganu telah dipancung kerana telah melakukan kesalahan. Namun tidak diberitahu apa kesalahannya. Di atas kajiselidik kami, hamba yang dihukum bunuh itu sebenarnya ialah seorang yang bekerja sebagai posmen tetapi tidak mahu menghantar surat-surat baginda kemudian posmen itu melonggokkan surat dirumahnya. Polis telah menemui 1,290 pucuk batu bersurat di rumah posmen tersebut. Alasan posmen itu ialah macammana dia nak angkat batu-batu bersurat tu naik basikal untuk dihantar ke penerimanya.

FAKTA 3: Keris Taming Sari
Ramai yang mengatakan bahawa keris taming sari telah hilang dan tidak dijumpai sehingga kini. Namun kami telah menemuinya di salah satu kawasan di pendalaman Melaka. Setelah berbulan-bulan mengadakan ekspedisi mencari keris taming sari barulah kami menemui motor Kris yang ditunggang oleh pakcik Taming yang sedang memakai Sari.

FAKTA 4: Bangunan WTC Runtuh di New York
Sebenarnya bangunan ini dapat diselamatkan dari runtuh namun fakta kami sangat jelas kenapa sebenarnya ia runtuh. Persoalan kenapa bangunan ini runtuh terjawab kerana Superman pada masa tu spender dia basah lalu malu untuk dia keluar tanpa spender dia, Batman pula takleh keluar siang sebab kelawar tidur waktu siang. Spiderman pulak hari tu mengalami kincit perut dan terberak-berak kerana tertelan sarang labah-labah. Manakala Kapten Amerika pada hari tu sedang menghadiri majlis penerimaan pangkat sebagai Kapten. Hulk dan wolverine pula tengah menghadiri interview sebagai pelayan hotel dan last sekali catwomen tengah jahit kostumnya yang koyak. Ini semuanya fakta kenapa bangunan tu runtuh kerana superhero amerika mengalami masalah.

FAKTA 5: Taliban
TalibanTaliban Sebelum Amerika ingin menyerang Afghanistan, sebenarnya mereka ingin menyerang Malaysia terlebih dahulu kerana pada sangkaan mereka Malaysia ialah pusat pentadbiran Taliban yang diketuai Osama Laden. Namun akhirnya mereka malu pada tahap baboon kerana taliban yang mereka sangkakan itu sebenarnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi yang bernama Talikom Malaysia Berhad.

Amalan terbaik di bulan Zulhijah...

Sempena kedatangan bulan zulhijah,apa kata kita perbaiki diri dan dekatkan diri pada Allah SWT.Bulan Zulhijah adalah antara bulan yang mulia dalam Islam..Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya.

Sesungguhnya pada kejadian Allah SWT terdapat benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan oleh-Nya.

Di antaranya ialah kaabah, Hajar Aswad, zamzam, bulan Ramadan, hari Jumaat, 10 terawal bulan Zulhijjah, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis, para Nabi, Rasul dan sebagainya. Antara amalan yang dianjur Islam dalam bulan ini ialah:

1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.


Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).


Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang".


3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.


8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”

dan di dalam riwayat lain :

“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :

“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT: Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Sungguh indah nama ini.

Sungguh indah nama ini dan abg yakin, orangnya juga memiliki keanggunan sedemikian rupa. Memang abg yakin itulah selayaknya pujian yang adik harus perolehi. Berbanggalah dengan nama ini dan hargailah ia, apatah lagi kepada insan yang telah mengukirkan nama sedemikian rupa.

Memang mereka selayaknya dimahkotakan perasaan ini iaitu limpahan kasih dan sayang. Sesungguhnya, titisan kasih dan sayang lah yang telah menghadirkan kita ke sini. Di sini… di dunia ini.

Dari itu, usahlah lalai dan alpa untuk mencerminkannya kembali kepada mereka yang telah memberikan perasan kasih dan sayang ini.

Usahlah dibazirkan titisan kasih dan sayang yang adik miliki kepada mereka yang masih tidak mengerti mengenainya. Apatah lagi kepada mereka yang tidak mahu berusaha untuk memahami akan erti titisan kasih dan sayang yang diberikan.

Biarkanlah ianya berlalu pergi kerana orang yang sedemikian memang tidak akan menghargai setiap titisan kasih dan sayang yang diberi. Apatah lagi menambahkan kehebatan pada perasaan kasih dan sayang yang selayaknya dicurahkan dengan penuh kehebatan agar terlakarlah kenangan-kenangan indah yang kelak mengukirkan suatu simbol yang amat berharga sepertimana wujudnya adik dan nama yang begitu indah.

Kita, yang masih memiliki limpahan perasaan kasih dan sayang hasil cerminan hati dan perasaan, usahlah pula terikut-ikut dengan mereka yang tidak memahami dan menghargainya, apatah lagi menyelewengkannya menjadi perasan benci dan dengki. Ketahuilah bahawa benci dan dengki adalah antara racun duniawi yang harus dihindari.

Amat malanglah seandainya perasaan kasih dan sayang yang kita miliki kini terbalik pula menjadi perasaan benci dan dengki. Apakah itu yang harus kita perolehi? Semuanya terserah pada diri kita untuk melakarkan cerminan hati yang semulajadinya bersifat tulus dan suci.

Seandainya adik mengetahui betapa indahnya nama yang adik miliki kini, abg pasti adik kelak akan menghargainya, terutama kepada mereka yang telah mengukirkan nama sedemikian rupa. Apatah lagi merekalah yang bertanggungjawab menzahirkan adik di dunia ini sebagai suatu simbol kasih sayang mereka. Pastilah kehadiran adik ke sini adalah hasil limpahan kasih dan sayang juga.

Apakah adik telah terikut-ikut untuk tidak menghargai mereka yang telah memberikan semuanya ini?, iaitu hasil titisan daripada perasaan kasih dan sayang? Kasih dan sayang yang dilakarkan oleh kedua orang tua sehingga terukirlah wajah adik nan jelita dan memiliki nama yang cukup indah!.

Ingat! kedua orang tualah yang menitiskan kasih sayang itu sehingga terzahirnya adik di sini. Mengapa pula wujud bibit-bibit kebencian dan kedengkian yang memang tidak selayaknya berlaku pada nama yang begitu indah sekali?

Mungkinkah terdorong dan terikut-ikut dek penangan orang yang tidak mengenal erti kasih dan sayang tadi?

Dari itu, ambillah pengalaman hidup yang telah dilalui oleh adikku nanu seperti yang terlakar di atas kerana ianya memang ada kilauan cahaya NYA untuk menyuluh hidup seterusnya.

Lakukanlah pelbagai usaha kerana itu sahaja selayaknya yang perlu dilakukan kini seandainya adik yang memiliki nama nan indah ingin berjaya.

Salam dan doa buat adik, moga-moga akan berjaya.



Coretan ini saya lakarkan selepas membaca masalah hidup yang sedang dihadapi oleh seorang adik yang bernama Ana Syazwin iaitu putus cinta selepas berkenalan 9 tahun, diiringi bebanan hidup iaitu ibunya sedang sakit, ditambahi pula perangai ayahnya yang menurutnya tidak bertanggungjawab. Moga-moga coretan yang tidaklah seberapa ini dapat dimengerti kerana idea yang datang semasa melakarkan coretan ini memanglah agak samar-samar sifatnya.

Jangan salah sangka

Siapalah saya yang boleh menentukan keimanan seseorang yang bergelar manusia?


Keimanan ini letaknya di dalam hati seseorang dan diselaputi oleh kepercayaan yang jitu mengenai kekuasaan TUHAN.


Oleh sebab itu, saya tetap menyakini bahawa Tiada Siapa pun yang layak menghakimi keimanan seseorang insan yang bergelar manusia selain empunya diri sendiri yang mengetahuinya. Apatah lagi bertindak seolah-olah mengetahui bahawa hanya manusia tertentu sahaja yang akan layak memasuki Syurga-NYA kelak.


Walaupun dianya berpangkat seperti ulama besar atau Tok Guru mana-mana anutan pun, bilamana menyentuh soal keimanan kepada TUHAN, sememangnya manusia tidak layak menghakimi keimanan yang dimiliki oleh insan-insan lain.


Ingatlah bagaimana Iblis yang mulanya mentaati Allah tetapi disebabkan kebongkakan dan kesombangannya sendiri, akhirnya iblis telah dilaknat oleh Allah.


Memanglah saya dan Anda boleh berkata mengenai pelbagai hukum-hakam yang terkandung di dalam mana-mana anutan setiap agama, tetapi ketahuilah bahawa untuk mengatakan saya atau hanya Anda yang akan layak memasuki syurga-NYA nan abadi, sememangnya ini adalah serpihan daripada sifat Iblis iaitu Sombong dan Bongkak.


Saya tetap meyakini bahawa hanya DIA yang mengetahui sama ada saya atau Anda akan layak menduduki Syurga NYA nan abadi. DIA yang saya maksudkan pastilah Allah yang Maha Esa. Sesungguhnya hanya DIA yang layak menentukan manusia yang mana satu akan menduduki Syurga-NYA.


Siapalah kita yang berhasrat berperanan seperti Allah Yang Maha Esa? Apatah lagi menghakimi sesama manusia seolah-olah memiliki sebahagian daripada kekuasaan-NYA untuk menentukan si fulan dan si fulan itu akan memasuki Syurga-NYA...


Lainlah kalau Anda itu sudah menjadi Rasul suruhan Allah yang Maha Esa. Pasti saya akan menyakininya.


Anda masih boleh mengatakan pelbagai hukum-hakam yang terkandung di dalam mana-mana anutan, tetapi Anda sebenarnya belum layak untuk menentukan bahawa hukum-hakam yang Anda berikan itu adalah yang sebenar-benarnya betul dan menjadi kata pemutus.


Anda masih boleh menyatakan kepada seseorang tentang hukum-hakam yang Anda percayai, tetapi fahami jua keadaan dan situasi. Masih segar pesanan seorang sahabat kepada saya mengenai Imam Syafi'iy yang menutup kitabnya yang masyhur iaitu Al-Umm dengan mengatakan bahawa andai ada yang lebih baik daripada yang dinyatakannya, maka ambillah yang lebih baik itu sebagai pegangan. Itulah yang dinamakan sebagai keterbukaan.


Sesungguhnya, hanya DIA yang mengetahui segala-gala perkara sama ada yang terserlah atau tersembunyi. Mengapa? Kerana itulah namanya keajaiban NYA yang menjadi Hak Mutlak Bagi NYA jua.

Sunday, November 22, 2009